Cerita sebuah bangsa (baca:kebangsaan).

Cerita sebuah bangsa (baca:kebangsaan).

Muhammad Faisal Mat Zawi

“Hari ni hari gapo eh?” Pak Su Lah tiba-tiba bersuara dari tangga surau. Saya baru sahaja melangkah masuk ke dalam, melabuhkan punggung duduk di sudut surau jauh sedikit dari Tuk Wan.
Kelihatan Ustaz Saidi menekur pada lantai.
“Hari Rabu la wei,” Tuk Wan menjawab.
“Makno nyo, sepuluh hari lagi la nok merdeka dok?”
“lebih kure la,”Ohh, topik sebelum Zohor hari ini fasal merdeka ke? (Itu monolog saya cuma).
“Cuti ko?” Ustaz Saidi menegur saya.
“Ho la,” saya menjawab ringkas.“Gi bilo kolumpo? Minggu depe la?”
“Jolo la ustaz,”Kemudian Pak Cik Man Penggawa pula melangkah masuk. Tuk Wan cerita pula dia beli tiket bas untuk anaknya. Pak Cik Man Penggawa tambah, pukul tujuh setengah pagi tadi dia menunggu di stesen keretapi, beli tiket katanya.Habis sahaja solat Pak Hassan cerita pula sakit giginya. Dua tiga jemaah tua yang lain menambah. Pak Cik Man Penggawa kata kalau nak murah cabut gigi, pergi klinik siang-siang.
Ustaz Saidi pula seperti sediakalanya, tenang sahaja orangnya. Kadang-kadang dia turut serta berbual tapi banyaknya dia senyap sahaja. Saya kira Ustaz Saidi unik orangnya. Beliau diterima di surau kampung saya yang rata-rata jemaahnya (yang berjumlah enam orang!) Pas, walhal ustaz orang UMNO. Kiranya surau kampung saya bolehlah dikatakan majmuk jemaahnya. Saya juga jemaah yang ganjil juga, bukan sahaja dari segi umur tapi mungkin kerana saya ke surau memakai celana (semua jemaah tua lain memakai kain pelikat).
Ibu saya ada juga menegur, katanya nanti apa kata orang kalau ke surau pakai jeans. Tapi saya berhujah itu cuma persepsi orang. Bahkan pakaian Melayu pun yang sering dipakai ke surau itu pun hasil proses asimilasi Islam ke dalam budaya Melayu. Jemaah surau pun nampaknya seperti tidak ambil pusing dengan ‘etika’ pemakaian ke surau.Cerita Melayu dan Islam itu biarlah saya perikan dalam entry blog yang lain. Kerana kali ini saya mahu bercerita tentang kisah sebuah bangsa. Bukan bangsa Melayu dan cerita kemerdekaannya, tapi sebuah bangsa yang kian rakus menjarah bumi saudara kita.
Bermulanya bangsa.
21 haribulan Ogos umat Islam seluruh dunia mengenang kembali peristiwa mimbar zaman Salahuddin Al Ayubi di Masjidil Aqsa dibakar yang menyaksikan penetapan Hari Al Quds bagi umat Islam. Itu cerita Al Aqsa. Ini saya bawakan cerita mereka yang membakar mimbar. Adapun dalam membicarakan mengenai bangsa Yahudi maka sebaiknya perlu diketahui yang bangsa Yahudi yang ada sekarang bisa dibahagi kepada dua, yakni Semitik dan Ezkinaz atau sering juga disebut non-semitik.
Meskipun dalam keraguan, teori yang diterima mengenai asali yahudi Semitik itu dipercayai dari titisan Nabi Ibrahim. Baginda berhijrah dari Kota Aur di selatan Mesopotamia, ke Khurran di Syria. Di sinilah katanya ayah Nabi Ibrahim meninggal dunia.Kemudian Baginda berpindah lagi ke Kananiah sekitar 2000SM. Dari keturunan baginda dari Nabi Ya’kub yang kadangnya juga dikenal dengan Israel, yang suka berjalan malam. Hingga akhirnya terbit sebuah bangsa yang dikenal dengan nama Bani Israel.
Di antara keturunan Bani Israel adalah Nabi Yusuf yang berjaya menjadi menteri di Mesir. Hingga akhirnya banyaklah Bani Israel yang berdiam disana, sehingga suatu masa Firaun berkuasa mereka di bawah pimpinan Nabi Musa keluar dari Mesir menuju ke Kanaan (Palestina). Ini yang dipegang sejarawan Yahudi. Teori lain pula menyebut mereka pada hakikatnya adalah bangsa campuran dari pelbagai ras.
Mereka hidup mengembara seperti kaum Gypsy pada masa jahiliyyah atau seperti kaum Syatharien dan Iyarien (Vaga bonds) pada dinasti Abbasiah. Dalam proses hidup mereka yang nomad mereka pernah menyerbu bumi Kananiah dan merompak penduduknya.Agama yahudi ketika zamannya cukup unik kerana sewaktu masyarakat Timur Tengah purba menyembah banyak tuhan, politheist tetapi mereka menyembah hanya satu tuhan.
Monotheist. Tuhan mereka pula universal, tidak dilihat berbeza dengan tuhan agama lain yang lebih kepada berhala-hala dan unsur alam seperti bintang, matahari, burung dan sebagainya.
Dalam Leviticus 26:12, tuhan mereka membuat perjanjian, “I……….will be your God, and ye shall be my people”Dalam Deutronomy 10:12-13,“And now, O Israel, what does the Lord your God ask of you but to fear the Lord your God, to walk in all his ways, to love Him, to serve the Lord your God, with all your heart, and with all your soul, and to observe the Lord’s commands and decrees that I am giving you today for your own good.”
Dan banyak lagi diceritakan dalam Bible selagi mana mereka patuh kepada ajaran Taurat (Torah) mereka akan diberkati oleh tuhan, YHWH. Walaupun mereka berjaya melarikan diri ke Kanaan namun masih juga mereka belum mampu memasuki negeri itu. Kisah itu ada dinyatakan dalam al-Quran dalam surah Al-Maidah. Hingga akhirnya mereka merempat di padang pasir selama 40 hari.Mengikut pembacaan saya, mereka mengambil masa selama 200 tahun untuk memasuki Kanaan. Pada 1029 SM, Saul menjadi raja Bani Israel yang pertama.
Bagaimanapun dia mati di medan perang ketika melawan bangsa Philistines. David (Daud) kemudian menerajui pemerintahan dan menjadikan Jerussalem (Bait Al Maqdis) pusat pemerintahan. Kerajaan Israel berkembang pesat.Kemudian Solomon (Sulaiman) menyambung legasi pemerintahan. Baginda membina sebuah kuil agung yang dikenali Temple of Solomon (Haykal Sulaiman) atau lebih dikenali The First Temple.
Selepas kematiannya, Rehoboam menjadi raja. Bagaimanapun pemimpin puak di utara telah memilih raja mereka sendiri, Jeroboam. Jadi kerajaan itu terpisah dua, Israel di utara dan Judah di selatan. Mengikut catatan dari Bible mereka seringkali menyimpang dari ajaran Torah (Taurat).
Hingga pada suatu tahap mereka menyembah berhala Baal dan Ashtoreh. Dari itu sekelian banyak nabi yang dihantar Allah s.w.t. untuk membetulkan akidah mereka.722 SM, pihak Assyria menawan Israel dan pada 586 SM, kerajaan Babylon menawan pula Judah. Mereka memusnahkan The First Temple dan membakar skrip-skrip agama. Bangsa Israel ditawan dan dibawa ke Babylon untuk dijadikan sebagai hamba. Ketika inilah para pendeta Yahudi membesarkan hati kaumnya dengan konsep Janji Tuhan dan Bumi nenek Moyang hingga akhirnya mereka berkobar-kobar untuk kembali ke Kanaan (Palestina).
Diceritakan bahawa dalam tempoh itulah mereka menulis kitab-kitab untuk memelihara agama mereka. Mereka menulis hukum-hukum agama, sejarah nabi-nabi, dan lagu-lagu agama. Mereka tulis berdasarkan apa yang mereka ingat dan dipelajari dari pendeta dan golongan ‘senja’ mereka. Pada 400 SM mereka menerbitkan salinan pertama Torah yang mereka tulis dalam masa penahanan di Babylon yang merangkumi lima buku utama, Genesis, Exodus, Leviticus, Numbers, Deutronomy dan dikenali Hebrew Canon.
Undang-undang asas agama Yahudi. Pada 200 SM mereka menambah lagi buku-buku yang memerikan nabi-nabi mereka, Joshua, Judges, Samuel, Kings, Isaiah, Jeremiah, Ezekiel dan skrol yang mengandungi 12 nabi lain. Bangsa Yahudi percaya yang ras lain, Gentiles adalah diciptakan tuhan untuk kepentingan mereka.
Pada 322 SM Alexander The Great menawan Judah. Setelah kematiannya, jajahannya dibahagiakan kepada jeneral-jeneral perang. Judah di bawah pimpinan Ptolemy dan keturunannya Ptolemies kekal merdeka dan diuruskan High Priest dan majlisnya. Pada masa inilah kaum Yahudi membina The Second Temple.
Pada 168 SM raja Seleucid, Aniochus IV membuat sebuah altar untuk tuhan Zeus di dalam Second Temple yang menggantikan The First Temple yang musnah dalam usahanya mengembangkan budaya Greek dalam proses Hellenization.
Malangnya Yahudi enggan menyembah Zeus dan mereka memberontak dibawah pimpinan Matathias dan lima anaknya yang dikenali dengan Maccabees.Selama 25 tahun akhirnya Judah berjaya dimerdekakan. Maccabees memerintah secara bergilir dibawah nama Dinasti Hasmonean. Begitupun pada 160 SM Kerajaan Rom pula menguasai Judah. Mereka melantik Antipater, yang berdarah separuh Yahudi sebagai pemerintah Judah.
Selepas kematiannya, anaknya Herod menggantikan bapanya sebagai pemerintah Judah.Dia membaik pulih kembali The Second Temple kepada keadaan asal. Struktur asal yang tinggal dari The First Temple ialah sebuah bilik dalaman yang dikenali dengan Holy of Holies. Herod kemudiannya membina pelbagai kompleks disekeliling bilik itu.
Namun selepas kematian Herod anak-anaknya berbalah merebut jawatan hingga wujud political anarchy.Pihak Rom mengambil kesempatan dan menjadikan Judah salah satu wilayah jajahannya. Raja Titus bertindak kejam terhadap kaum Yahudi dan mengeluarkan arahan melarang mereka ke Second temple untuk beribadat dan melarang mereka berdiam di Jerusalem. Kaum Yahudi begitu merana di bawah pemerintahan Rom.
Setakat itu sahajalah cerita saya untuk entry kali ini, kerana kalau mahu dilanjutkan lagi panjangnya adalah sampai kepada dua buah buku. Insya Allah akan saya hurai lagi sejarah mereka dalam entry yang lain. Begitupun apa yang saya mahu tekankan adalah kitaran naik turun bangsa yahudi itu.Dari sebuah bangsa yang mulia pada zaman Nabi Yusuf mereka ditindas pada Firaun. Kemudian ke puncak lagi pada zaman nabi Daud dan Sulaiman tetapi kemudian ditindas lagi pada zaman Romawi. Dan kini mereka sekali lagi menguasai dunia.
Maka apakah umat Islam tidak dapat untuk mengambil walau secebis pun pengajaran dari kisah perjuangan bani Israel untuk menegakkan daulah mereka di bumi Allah.Bahkan dari keyakinan mereka kepada Bumi Tuhan yang dijanjikan itulah menunjukkan mereka punya kepercayaan yang mantap dan teguh terhadap janji tuhan kerana mereka yakin tuhan tidak memungkiri janji, maka apakah kita tidak malu dengan bangsa yang selama ini kita caci dan cerca? Fikir-fikirkanlah. Dimana pula tarafnya keyakinan kita pada janji tuhan?
Sampai bila lagi kita mahu mencedok, bahkan sudah sampai masa untuk kita pula yang menuang peradaban dunia. Seperkara lagi saya mahu tegaskan, musuh kita ialah zionis dan rejimnya. Kita tidak memusuhi agama Yahudi dan bangsanya bahkan perlu diingat kebanyakan nabi dari keturunan Israel.
Musuh kita adalah kafir harbi yang memerangi kita. Apapun,“Ya Allah bebaskanlah al quds kami, ringankanlah beban saudara kami di Palestin, selamatkanlah baitul maqdis, jadikanlah kami muslimin/muslimat yang membebaskannya!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Daripada Abu Hurairah r.a , Nabi s.a.w bersabda " Islam bermula dalam keadaan terasing.Ia akan kembali terasing seperti permulaannya. Maka, berbahagialah bagi orang yang terasing."

(riwayat Muslim)

Kata-kata Pujangga

Ilmu pengetahuan adalah lidah yang selalu basah bertanya dan akal yang selalu berfikir.

(anonymous)

Renungan Musafir

dulu...

yang hilang diganti,
yang sesat dicari,
yang luka diubati,
yang baik disayangi,
yang nakal dinasihati,
yang hebat disanjungi,
yang berbudi dipuji,
yang rosak dibaiki,
yang amanah dihormati,

kini...

yang pergi senantiasa diingati,
dekat di hati...

musafirku!!!pergillah...

(roger)
Terdapat ralat dalam alat ini